Kisah perjuangan seorang sahabat yang kian dilupakan.....

Suhaib Ar-rumi.............

Suhaib adalah seorang pedagang yang pintar dan cerdas, beliau menjual dengan harta dan jiwanya guna mendapatkan redha Allah SWT, maka diapun mendapatkannya dan berhak mendapatkan penghargaan orang Romawi yang mendapatkan kemenangan dalam Islam, dan berhak seperti yang diriwayatkan dari Rasulullah saw :”Suhaib penakluk negeri Romawi”. (HR. Ibnu Sa’ad).

PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA KE ARAH PEMBANGUNAN INSAN NEGARA



Latar Belakang Perkembangan Pendidikan Di Malaysia
Perkembangan pendidikan di Malaysia boleh dilihat ddalam era sebelum penjajahan Inggeris; semasa penjajahan Inggeris iaitu bermula dari pembukaan Pulau Pinang oleh Francis Light pada 1786; era sebelum kemerdekaan iaitu selepas Perang Dunia Kedua dan pembentukan Malayan Union pada 1946; dan era selepas merdeka iaitu mulai tahun 1957. Perkembangan pendidikan selepas kemerdekaan pula melibatkan pendidikan Perkembangan Pendidikan di Malaysia: Falsafah dan Dasar  ketika sebelum dan selepas tertulisnya Falsafah Pendidikan Negara (FPN) pada tahun 1988; serta pendidikan dalam era milenium.

Pendidikan Sebelum Penjajahan Inggeris
Dari sudut sejarahnya iaitu sebelum penjajahan Inggeris, pendidikan untuk rakyat jelata di tanah air ini berlangsung secara tradisional dalam institusi keluarga dan masyarakat. Pendidikan pada masa itu bercorak warisan turun temurun yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Rakyat berpegang kuat pada adat resam yang bersifat ketimuran ditambah pula dengan ajaran agama Islam yang teguh. Pendidikan melibatkan perkara-perkara asas bagi tujuan kelangsungan kehidupan harian seseorang baik dalam keluarga mahu pun dalam masyarakat. Pendidikan tradisional juga melibatkan perkara-perkara berkaitan budaya dan warisan. Ibu bapa sebagai orang yang memainkan peranan utama sebagai pendidik. Anak-anak tidak kira lelaki atau perempuan, dididik dengan ketertiban, nilai, budi bahasa serta adab sopan yang diterima pakai dalam lingkungan masyarakat pada ketika itu. Sebagai contoh, setiap individu perlu menghormati orang lain terutama kepada ibu bapa serta orang yang lebih dewasa daripada mereka. Tutur kata serta perbuatan perlu sentiasa dijaga bagi memelihara keamanan, kesejahteraan dan keharmonian dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat.
Bagi anak-anak lelaki, mereka akan dididik bagi tujuan untuk menjadi ketua keluarga di suatu masa kelak. Bagi tujuan ini biasanya anak-anak lelaki akan diminta membantu bapanya menjalankan kegiatan ekonomi keluarga seperti berkebun; bersawah; menangkap ikan; mengambil upah bertukang membina rumah; dan sebagainya selaras dengan konsep berbakti kepada tanah dan alam. Asuhan ini berterusan sehingga anak-anak lelaki tersebut mencapai peringkat umur remaja dan dewasa. Kesinambungan daripada itu, anak-anak lelaki tersebut akan seterusnya mewarisi aktiviti ekonomi keluarga untuk membina kehidupan keluarganya sendiri setelah mereka mendirikan rumah tangga. Bagi anak-anak perempuan pula, mereka akan dididik dan diasuh dengan perkara-perkara berkaitan rumah tangga agar suatu masa nanti mereka menjadi suri rumah yang baik. Sehubungan itu, anak-anak perempuan biasanya dilatih untuk membantu ibunya menjaga adik-adik, membasuh pakaian, mengemas rumah, jahit-menjahit serta melakukan kerja-kerja di dapur.
Berkaitan dengan keagamaan, anak-anak lelaki dan perempuan juga diajar tentang ilmu agama. Pembelajaran agama biasanya dilakukan di sebelah petang atau malam, di mana mereka akan mengikuti pengajian di rumah Pak Imam atau orang yang lebih arif tentang agama yang boleh dianggap sebagai guru atau ustaz termasuk pendakwah Islam yang datang dari Asia Barat. Anak-anak diasuh untuk membaca Al-Quran, menghafal doa, mempelajari fardhu „ain, fardhu kifayah, hadis, hukum-hakam dan cara hidup Islam. Tradisi masyarakat adalah menjadikan Al-Quran sebagai pelajaran dasar di samping pelajaran-pelajaran yang lain. Selain di rumah Pak Imam, guru atau ustaz pelajaran agama juga berlangsung di surau-surau dan di masjid-masjid. Selain itu pendidikan bercorak keagamaan di sekolah pondok juga banyak terdapat di Semenanjung Tanah Melayu pada masa itu. Perkembangan Pendidikan di Malaysia: Falsafah dan Dasar
Bagi golongan bangsawan, pendidikan secara lebih formal berlaku di istana. Guru-guru yang khas diundang untuk mengajar anak-anak raja dan anak-anak para pembesar istana. Jadual belajar, mata pelajaran dan tempat belajar yang lebih khusus ditetapkan. Pelajaran membaca, menulis dan mengira diajarkan selain pelajaran Jawi, bahasa Arab, Fiqh, Tauhid, Al-Quran dan lain-lain. Dalam erti kata lain, kedatangan Islam ketika zaman Kerajaan Melayu Melaka (1403 – 1511) telah memainkan peranan penting dalam pengembangan ilmu pengetahuan, pendidikan dan dakwah Islamiah di Tanah Melayu dan rantau Nusantara.

Pendidikan Semasa Penjajahan Inggeris
Semasa penjajahan Inggeris (1786 – 1957), masyarakat di Tanah Melayu adalah terdiri daripada golongan elit, bangsawan, rakyat pertengahan dan rakyat bawahan. Masyarakat mula bersifat majmuk dengan kedatangan buruh dari Cina dan India secara beramai-ramai untuk bekerja di lombong bijih timah dan di ladang-ladang seperti ladang kopi, kelapa, tebu dan getah. Inggeris melaksanakan dasar pecah dan perintah dengan budaya superior penjajah yang begitu ketara. Pengekalan budaya dan warisan berasaskan kaum berlaku dengan bebas sehingga mewujudkan polarisasi antara kaum. Tiada usaha penyatuan oleh pemerintah pada masa itu ke arah perpaduan antara golongan elit, bangsawan, rakyat pertengahan dan rakyat bawahan; antara penduduk bandar dan luar bandar; lebih-lebih lagi antara suatu suku kaum dengan suku kaum yang lain.
Dasar pecah dan perintah oleh penjajah pada masa itu telah mempengaruhi sistem pendidikan yang dilaksanakan pada masa itu. Hala tuju pendidikan pada masa itu bersifat kabur. Inggeris memperkenalkan sekolah vernakular. Sekolah vernakular ialah sekolah yang ditubuhkan berasaskan etnik yang menggunakan bahasa pengantar, kurikulum, buku dan guru masing-masing. Sekolah vernakular yang ditubuhkan ialah sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina dan sekolah vernakular Tamil.
Pada tahun 1855 sekolah Melayu dibuka di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan pada tahun 1856 di Telok Belanga dan di Kampung Gelam, Singapura. Di sekolah vernakular Melayu, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar. Tulisan Rumi dan Jawi digunakan secara serentak di kebanyakan sekolah. Antara sekolah yang awal dibuka ialah di Bayan Lepas, Pulau Pinang; dan di Kampung Gelam, Singapura. Pada 1871, A.M Skinner telah memperkenalkan sekolah Melayu yang digabungkan dengan kelas Al-Quran iaitu pelajaran akademik di sebelah pagi manakala kelas Al-Quran di sebelah petang. Langkah ini bertujuan untuk menarik minat orang Melayu agar menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana orang Melayu memberi sambutan yang dingin terhadap sekolah vernakular ini.
Sekolah vernakular Cina bermula di Negeri-negeri Selat. Sekolah yang awal, didirikan di Melaka. Sekolah vernakular Cina juga kurang mendapat sambutan daripada masyarakat Cina. Pada pertengahan abad ke-19 iaitu apabila kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu berlaku secara beramai-ramai, kebanyakan sekolah Cina dibiayai oleh kaum Cina sendiri iaitu oleh pertubuhan-pertubuhan, persatuan atau orang perseorangan. Penubuhan sekolah tersebut adalah dengan tujuan untuk memastikan pengekalan warisan budaya dan bahasa kaum Cina. Guru-guru dan bahan pembelajaran adalah daripada tanah besar Cina. Pihak Inggeris tidak masuk campur atau menghalang usaha yang dilakukan sehingga Enakmen Pendaftaran Sekolah diadakan pada tahun 1920 yang mana semua sekolah Cina perlu didaftarkan pembukaannya.
Apabila Kod Buruh dikuatkuasakan pada tahun 1925, setiap ladang yang ada 10 orang anak-anak berumur persekolahan diwajibkan membuka sekolah. Justeru itu banyak sekolah vernakular Tamil dibuka. Ciri sekolah vernakular Tamil adalah seperti sekolah vernakular Cina, iaitu berorientasikan negara asal. Selain untuk menyelesaikan masalah buta huruf, kurikulum di sekolah Tamil adalah berkisar kepada unsur-unsur kerohanian dan kebudayaan Hindu serta bahasa pertuturan. Bahan-bahan pengajaran adalah dibawa masuk dari India. Orang India di Tanah Melayu pada masa itu kebanyakannya masih menumpukan taat setia mereka kepada negara asal. Sebagai contoh, pergolakan politik yang berlaku di India pada ketika itu, juga dirasai kesannya di Tanah Melayu. Justeru elemen dalam kurikulum dan pengajaran banyak dipengaruhi oleh perkara tersebut.
Sekolah Inggeris dibuka untuk anak-anak pegawai kerajaan Inggeris pada masa itu selain untuk anak-anak bangsawan dan golongan elit Melayu. R. Hutching telah membuka Penang Free School pada tahun 1816 iaitu sekolah Inggeris pertama. Sekolah Inggeris banyak menerapkan ideologi penjajah termasuk pengekalan ciri-ciri ketuanan Inggeris sebagai penjajah. Selain itu sekolah mubaligh Kristian seperti sekolah Methodist, Katholik dan Anglican juga beroperasi mengikut kehendak mazhab masing-masing. Sistem persekolahan vernakular yang diperkenal adalah sebenarnya tidak bertapak di atas asas yang konkrit apalagi ke arah perpaduan rakyat di negara ini.
Jika dilihat semasa Perang Dunia Kedua, ketika Tanah Melayu ditakluki oleh tentera Jepun, kebanyakan sekolah ditutup untuk dijadikan markas tentera Jepun. Terdapat juga pusat-pusat pengajian tinggi seperti Kolej Perubatan  King Edward VII dan Raffles College yang terus tidak dapat berfungsi kerana telah digunakan untuk keperluan Kerajaan Jepun. Akhirnya, ramai penuntut terhenti pengajian mereka begitu sahaja. Pada tahun 1946, apabila kolej-kolej ini dibuka semula, kerajaan British terpaksa menyediakan perbelanjaan yang agak tinggi khasnya untuk kerja-kerja membaikpulih bangunan-bangunan tersebut khususnya dari segi infra struktur, kelengakapan  dan kemudahan-kemudahan asas yang lain.
Beberapa sekolah Nihongo dibuka oleh tentera Jepun. Pada masa itu anak-anak penduduk tempatan telah diminta menghadiri sekolah-sekolah tersebut. Sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh tentera Jepun ini menggunakan bahasa Jepun sebagai bahasa pengantar. Mata pelajaran meliputi pelajaran bahasa Jepun, nyanyian lagu-lagu klasik Jepun, kebudayaan Jepun dan kegiatan-kegiatan yang ada kaitannya dengan penerapan nilai ketaatan dan kesetiaan kepada kerajaan dan maharaja Jepun. Jepun pada masa itu menggunakan slogan Asia for Asian iaitu Asia adalah untuk orang Asia.
Pendidikan rakyat terus berkembang tanpa mengambil kira soal keperluan kepada kemajuan dan pembangunan Tanah Melayu secara khususnya. Iaitu tiada pembentukan identiti kebangsaan, perpaduan rakyat, apalagi pembangunan unsur insaniah dalam kalangan rakyat. Sistem pendidikan lebih kepada usaha memecahbelahkan rakyat. Bagi peribumi pendidikan bertujuan untuk mengekalkan mereka dengan aktiviti ekonomi yang sedia ada seperti bertani, bersawah atau sebagai nelayan. Bagi etnik pendatang, Inggeris tidak berminat dan bersikap tidak mahu masuk campur berkaitan pendidikan mereka. Justeru pendidikan memberi laluan untuk mengekalkan tumpuan taat setia masing-masing kepada negara asal mereka. Dalam pada itu Inggeris terus mengekalkan kuasa serta pengaruh ketuanan mereka sebagai penjajah.
Selepas perang dunia kedua, (1946-1956) sistem pendidikan negara merangkumi tahap rendah, menengah, latihan perguruan , dan pendidikan tinggi. Sepertimana yang kita maklum bahawa negara telah jatuh ke tangan pemerintahan orang Jepun semasa perang dunia kedua yang berlangsung lebih kurang tiga setengah tahun bermula pada tahun 1942. Apabila tamatnya tempoh pendudukan tersebut, jentera pemerintahan negara telah mengalami pelbagai masalah pendidikan.
Namun begitu. kesan akibat pendudukan Jepun memberi kesan yang amat ketara pada system pendidikan negara pada waktu itu. Sebelum tahun 1941, kadar pendaftaran murid di sekolah-sekolah kian meningkat. Walaubagaimanapun, selepas pendudukan Jepun, kedaan sedemikian semakin merosot. Pendaftaran murid ke sekolah merosot secara drastik dan kualiti pengajaran juga turut merosotSelain daripada pemulihan fizikal yang dilakukan, Kerajaan British juga telah merancang untuk menstruktur semula sistem pendidikan di Malaysia. Maka pada tahun 1946, terhasil Rancangan Cheeseman yang mengandungi cadangan-cadangan seperti berikut:
a)    Pendidikan peringkat rendah (asas) secara percuma dalam semua bahasa pengantar.
b)    Pendidikan peringkat menengah (sekolah pertengahan dan tinggi) yang menggunakan Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar.
c)    Bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran wajib di semua sekolah vernakular.
Memandangkan Rancangan Cheeseman tidak berfokuskan kepada integrasi sosial dalam kalanngan rakyat berbilang kaum, ia pun lupus begitu sahaja  pada tahun 1949 selepas Malayan Union dimansuhkan. Lantaran itu, orang masih kekal dengan perjuangan mereka  untuk menuntut reformasi dalam bidang pendidikan yang kemudiannya dimanifestasi dalam pelbagai laporan pendidikan. Antaranya termasuk Laporan Barnes, Laporan Fenn-Wu, Ordinan Pelajaran  1952 dan Penyata Razak.
Laporan Fenn-Wu 1952
Laporan Barnes memberi tumpuan kepada sekolah-sekolah Melayu. Terdapat juga laporan yang berfokuskan kepada sekolah-sekolah Cina iaitu Laporan Fenn-Wu. Jawatankuasa Fenn-Wu ditubuhkan pada tahun 1951 di bawah pimpinan dua orang pengerusi iaitu Dr Fenn, Setiausaha Kerja Bersekutu kepada Lembaga Amanah bagi beberapa buah university di negara China, dan Dr Wu yang bertugas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Antara tanggungjawab Jawatankuasa ini ialah untuk mengkaji kehenda-kehendak masyarakat Cina yang mempunyai tanggapan bahawa Laporan Barnes berhasrat untuk  menghapuskan bahasa dan budaya orang Cina.
Hasil kajian menunjukkan bahawa walaupun kebanyakan orang Cina bersedia untuk menerima bahasa pengantar, tetapi mereka masih ingin mengekalkan bahasa ibunda mereka sebagai symbol identiti budaya. Sememangnya orang Cina menyedari faedah dan manfaat mempelajari dan seterusnya  menguasai tiga jenis bahasa iaitu Bahasa Cina, Bahasa Melayu, dan Bahasa Inggeris. Dapatan yang sama juga diperolehi  daripada orang India yang berkehendakkan agar bahasa-bahasa ibunda mereka (Bahasa Tamil, Telugu, dan Punjabi) berkekalan di sekolah-sekolah Tamil. Cadangan-cadangan Laporan Fenn-Wu ialah agar Bahasa Cina, Bahasa Melayu, dan Bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah vernakular.







Ordinan Pelajaran 1952
Ekoran daripada Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu, Kerajaan British kemudiaannya menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Pusat mengenai pendidikan. Penubuhan ini bertujuan untuk mengkaji cadangan-cadangan kedua-dua laporan ini serta mencari satu kompromi atau jalan tengah yang baik. Dengan itu, terhasil Ordinan Pelajaran 1952 yang mempunyai cadangan-cadangan seperti berikut:
      i.        Sistem pendidikan sekolah kebangsaan dilaksanakan melalui pengenalan Bahasa Inggeris secara beransur-ansur di sekolah –sekolah Melayu.
    ii.        Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris juga mula dikuatkuasakan di sekolah-sekolah Cina dan Tamil.
   iii.        Sekolah jenis kebangsaan (Inggeris) dikekalkan.
   iv.        Pendidikan agama diadakan pada waktu persekolahan untuk murid-murid beragama Islam sama ada dalam kawasan sekolah mereka atau di kawasan lain yang berhampiran.
    v.        Sekolah-sekolah vokasional diperkembangkan.











RUJUKAN
Abd. Fatah Hasan (2001). Falsafah pendidikan. Kuala Lumpur:
PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Akta Pelajaran 1961. Kuala Lumpur: International Law Book Service. (1984).

Akta Pendidikan 1996. Kuala Lumpur: MDC Publishers Printers.(1996)

Kementerian Pelajaran Malaysia (2006). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(PIPP) 2006 – 2010. (Edisi Pelancaran). Kuala Lumpur: KPM.

Kementerian Pendidikan Malaysia (1980). Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji
Pelaksanaan Dasar Pelajaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Sufean Hussin (2004). Sejarah, sistem & falsafah pendidikan di Malaysia
 (Edisi Kedua). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.







No comments:

Post a Comment