Kisah perjuangan seorang sahabat yang kian dilupakan.....

Suhaib Ar-rumi.............

Suhaib adalah seorang pedagang yang pintar dan cerdas, beliau menjual dengan harta dan jiwanya guna mendapatkan redha Allah SWT, maka diapun mendapatkannya dan berhak mendapatkan penghargaan orang Romawi yang mendapatkan kemenangan dalam Islam, dan berhak seperti yang diriwayatkan dari Rasulullah saw :”Suhaib penakluk negeri Romawi”. (HR. Ibnu Sa’ad).

ISU SEMASA YANG MENGGANGGU PROSES PENDIDIKAN DI SEKOLAH




Pengenalan
Sebagaimana yang telah kita maklum bahawa PPSMI telah pun diperkenalkan pada tahun 2003 . Sebelum PPSMI dilaksanakan pada 2003 banyak badan-badan pemikir antaranya Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAMPEN), Institute of Strategic and International Studies (ISIS) yang telah memberikan pandangan-pandangan ataupun cadangan-cadangan mereka demi memastikan keperluan negara terhadap K-workers, puluhan ribu saintis,jurutera dan juga pakar-pakar tertentu untuk memajukan Negara ke arah Negara maju tahun 2020 dapat dipenuhi. Oleh yang demikian, bagi mencapai hasrat tersebut, kerajaan mengambil keputusan untuk menyediakan pelajar-pelajar mahir dalam bidang sains dan matematik sejak di peringkat persekolahan lagi. Sejajar dengan kemajuan dan kehendak dunia masa kini yang memerlukan kepada penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, maka PPSMI dilaksanakan bermula untuk murid Tahun Satu dan diikuti dengan Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 bermula pada tahun 2003.
Namun begitu, menurut laporan akhbar Berita Harian bertarikh 10 Julai 2009, Kementerian Pelajaran Malaysia  (KPM) akan melaksanakan dasar MBMMBI secara berperingkat-peringkat (soft landing) mulai tahun 2010. Hal ini sekaligus memansuhkan PPSMI secara berperingkat-peringkat.  Jika dilihat secara terperinci, terdapat perbezaan yang ketara di antara dasar MBMMBI dan Dasar PPSMI. Perbezaan ini adalah, dasar PPSMI menetapkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran (P&P) manakala dasar MBMMBI menetapkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam P&P sains dan matematik di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah manakala bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Tamil di sekolah jenis kebngsaan Tamil.
Mungkin pertukaran dasar yang dibuat oleh pihak kementerian telah mendatangkan pelbagai reaksi dan persoalan dalam kalangan pendidik, ibu bapa malah masyarakat umum. Dasar MBMMBI dilaksanakan adalah seteah mengambil kira dapatan  kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak yang mendapati bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan oleh pihak kerajaaan. Hasil kajian juga mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Hal ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan. Kajian KPM juga menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan p&p sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.

Impak Kepada Guru-guru
Isu pembatalan dasar PPSMI ini telah mendatangkan pelbagai reaksi dalam kalangan murid-murid dan guru-guru di sekolah. Hal ini kerana, pembatalan dasar PPSMI ini akan memberi kesan kepada kedua-dua belah  pihak dan  serba sedikit telah mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bagi pihak guru, pembatalan PPSMI ini menyebabkan guru Sains dan Matematik tidak akan menerima bayaran BISP mulai 2012 yang dianggarkan berjumlah RM40 juta setahun. Terdapat segelintir guru yang mengeluh dengan pembatalan dasar PPSMI ini lantaran pemotongan elaun BISP yang telah diterima sejak beberapa tahun yang lepas. Ekoran daripada pemotongan elaun ini telah menyebabkan guru-guru berkenaan mengalihkan kekecewaan mereka kepada murid-murid di sekolah dengan cara memarahi mereka semasa P&P dijalankan di dalam kelas.
Selain itu juga, guru di sekolah juga mengalami dilema apabila Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah. Hal ini kerana, guru-guru mengalami kekeliruan samada untuk menggunakan Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu sebagai medium pengajaran Sains dan Matematik di sekolah. Walaupun Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa Sains dan Matematik boleh diajar menggunakan Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu sepenuhnya atau secara dwibahasa, guru-guru masih berada dalam dilema. Hal ini bertambah sukar apabila terdapat sesetengah sekolah dan  ibu bapa yang memohon untuk meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Bagi segelintir ibu bapa, mereka beranggapan bahawa pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris akan membantu anak-anak mereka dalam menguasai Bahasa Inggeris yang sememangnya menjadi keperluan dalam era masa kini.
Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelbagai langkah transformasi untuk mengukuhkan Bahasa Inggeris melalui Dasar MBMMBI iaitu dengan menambah jadual waktu pembelajaran bahasa tersebut dalam waktu persekolahan. Hal ini telah menyebabkan waktu pembelajaran bagi matapelajaran Dunia Sains dan Teknologi (DST) dikurangkan menjadi dua waktu sahaja dalam seminggu. Bagi segelintir guru-guru sains, hal ini telah menimbulkan kerisauan kepada mereka kerana waktu pembelajaran sains yang kurang akan menyebabkan murid-murid hanya dapat mempelajari isi pelajaran sains dengan hanya di tahap yang paling minimum. Apabila hal ini berlaku, murid-murid akan mengalami masalah semasa mereka berada di tahap dua kerana banyak istilah, isi pelajaran, dan maklumat yang sepatutnya diketahui oleh murid-murid tidak dapat disampaikan oleh guru semasa P&P dilaksanakan di dalam kelas.
Selain itu juga, pelaksanaan MBMMBI telah menyebabkan kesukaran bagi guru-guru Sains khususnya dalam menjalankan P&P. Hal ini berlaku kerana  standard pembelajaran yang dimuatkan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) berada di aras yang tinggi bagi tahap pembelajaran murid Tahun 1 dan 2. Hal ini telah menimbulkan kesukaran bagi guru-guru kerana mereka terpaksa menghabiskan isi pelajaran sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Dokumen Standard KSSR. Guru-guru terpaksa- bertungkus lumus mengajar dalam dua waktu pengajaran yang ditetapkan dalam masa seminggu. Sekiranya mereka gagal untuk menghabiskan isi pelajaran sebagaimana yang telah ditetapkan maka hal ini akan menimbulkan kesukaran kepada guru dan murid-murid.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                            
Hal ini bertambah sukar lagi apabila elemen ICT atau Teknologi Maklumat dimuatkan di dalam matapelajaran pengajaran  Sains. Keadaan ini telah menyebabkan segelintir guru kadangkala terpaksa mengabaikan atau melambatkan sesi pengajaran yang berkaitan dengan ICT atau Teknologi Maklumat demi member laluan kepada isi pelajaran Sains yang dirasakan perlu diutamakan. Segelintir guru pula bertungkus lumus cuba menghabiskan silibus dan impaknya pengajaran yang dibuat adalah dalam keadaan tergesa-gesa. Apabila pengajaran yang dibuat oleh guru adalah dalam keadaan tergesa-gesa, maka hal ini akan menyebabkan murid-murid sukar atau mungkin tidak dapat menerima sepenuhnya pengajaran yang diberikan oleh guru.
Guru-guru turut mengalami kesukaran dalam mengendalikan murid-murid khususnya murid-murid Tahun 1 semasa mengajar tajuk ICT kerana mereka dikehendaki mengajar murid-murid berkenaan cara untuk menggunakan komputer secara amali di dalam Bilik Komputer Sekolah. Cabaran akan menjadi lebih besar kepada guru-guru yang mengajar kelas yang mempunyai 40 orang pelajar. Guru-guru terpaksa mengajar murid yang ramai di dalam kelas. Hal ini sudah tentu akan menimbulkan suasana yang kurang selesa kepada murid-murid yang ingin belajar secara amali lebih-lebih lagi apabila sesebuah sekolah tersebut kekurangan kemudahan komputer. Murid yang ramai terpaksa berkongsi komputer yang sedikit di dalam sesebuah makmal komputer. Kesannya, pembelajaran tidak dapat dilaksanakan dengan  sebaiknya.
Selain itu juga,terdapat segelintir guru yang mengalami kesukaran dalam menulis rancangan pengajaran harian bagi matapelajaran Sains dan Matematik. Hal ini berlaku kerana guru-guru berkenaan telah biasa menulis rancangan pengajaran harian menggunakan Bahasa Inggeris dan bahan-bahan mereka miliki seperti buku-buku teks dan bahan rujukan adalah dalam Bahasa Inggeris. Apabila berlaku pemansuhan terhadap Dasar PPPSMI, guru-guru terpaksa mencari bahan-bahan dalam rujukan yang menggunakan medium Bahasa Melayu. Hal ini sudah pasti memberikan kesukaran keada guru-guru. Mereka terpaksa mengeluarkan wang ringgit untuk membeli buku-buku dan bahan-bahan yang hendak digunakan semasa pengajaran dilaksanakan di dalam kelas. Apabila guru merasakan bahawa perubahan yang dibuat menyukarkan tugasan mereka, maka hal ini akan menyebabkan mereka berkerja dalam keadaan yang tidak menyeronokkan







Impak Kepada Murid-murid
Bagi murid-murid pula, mereka mengalami masalah dalam mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu apabila Dasar MBMMBI dilaksanakan pada awalnya, Hal ini kerana, terdapat segelintir murid yang mahir dan lebih selesa dengan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran Sains dan Matematik di sekolah. Hal ini berlaku khususnya kepada murid-murid yang tinggal di kawasan bandar dan bagi mereka yang sememangnya menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa petuturan dalam kehidupan seharian mereka.
Apabila perkara ini berlaku, murid-murid berkenaan terpaksa mengambil masa yang lebih lama untuk memahami isi pelajaran yang diajar dalam Bahasa Melayu. Kesannya juga dihadapi oleh guru iaitu mereka kadangkala terpaksa menterjemah perkataan-perkataan tertentu yang tidak dapat difahami oleh murid-murid semasa mempelajari Sains dalam Bahasa Melayu. Hal ini sudah pasti melambatkan sesi pembelajaran di dalam kelas terutamanya apabila rata-rata murid di dalam sesuatu kelas berkenaan tidak dapat memahami isi pelajaran yang disampaikan di dalam kelas.
Jelas di sini bahawa dasar baru yang telah diperkenalkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia serba sedikit memberi cabaran kepada guru-guru di sekolah. Cabaran ini sekiranya tidak dapat ditangani dengan baik oleh guru-guru, ianya boleh  mengganggu proses pendidikan di sekolah. Oleh yang demikian, guru-guru seharusnya mempersiapkan diri mereka untuk menerima segala perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan dengan bersikapp lues dan fleksibel supaya mereka dapat melaksanakan segala dasar yang telah ditetapkan oleh pihak KPM dengan sebaiknya. Guru sebagai suri tauladan kepada murid-murid hendaklah sentiasa menerima dan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan beretika supaya hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang berguna akan dapat dicapai dengan jayanya.

No comments:

Post a Comment