Definisi Nilai Murni
Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan
yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama
manusia, alam dan tuhan. Wan Mohd. Zahid mentakrifkan nilai murni sebagai:
"Nilai-nilai murni merupakan
tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga
menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya
diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk
kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia"
(Wan Mohd. Zahid, 1988)
Jika ditakrifkan secara menyeluruh, nilai murni
adalah nilai-nilai positif yang dapat diterima oleh pelajar dan masyarakat.
Penerapan Nilai-nilai Murni dalam
Falsafah Pendidikan Negara
Penerapan nilai-nilai murni ini secara rasminya
diberi penekanan melalui Laporan Kabinet (Laporan Mahathir 1979), 1989. Selain
itu, penerapan nilai-nilai murni ini juga dapat dibuat melalui Faksafah
Pendidikan Negara (FPN) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).
Falsafah
Pendidikan Negara (FPN) digubal agar pendidikan di negara ini menumpukan kepada
perkembangan individu yang menitik beratkan aspek keseimbangan dari sudut
jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah secara bersepadu.
Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang disuratkan
pada tahun 1987 berbunyi:-
"Pendidikan
di Malaysia adalah satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara"
Falsafah Pendidikan ini menjurus ke arah mencirikan
insan dan warganegara yang baik dengan mengemukakan ciri-ciri:
a.
Percaya dan patuh kepada tuhan
b.
Berilmu pengetahuan
c.
Berakhlak mulia
d.
Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan
negara.
e.
Berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat,
agama. Bangsa dan negara.
f.
Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
Keseimbangan dan keharmonian yang terdapat dalam
FPN akan dapat dicapai jika nilai-nilai murni ini dapat direalisasikan melalui
kurikulum (khususnya dalam pendidikan formal dan tidak formal) supaya ilmu
pengetahuan akan dapat diperkembangkan sebagai khalifah Allah dimukabumi ini,
manusia hendaklah menyeru dan menyedarkan sesama manusia yang lain.
Aspek Nilai-nilai Murni
Jawatankuasa Pendidikan Akhlak yang ditubuhkan pada
tahun 1976 telah meneliti nilai-nilai yang terkandung dalam pelbagai agama yang
diamalkan di negara kita, tidak hanya memfokuskan kepada agama Islam sahaja.
Berasaskan kepada pandangan dan maklumbalas yang diperolehi , jawatankuasa ini
yang dianggotai oleh wakil pelbagai agama telah menerima 16 nilai yang boleh
diajar dan diserapkan kepada semua pelajar di negara ini untuk membentuk
pelajar yang seimbang dan menyeluruh dari segi kognitif, afektif, psikomotor
dan akhlak.
Di sekolah penerapan nilai murni boleh disepadukan
melalui:
a.
Secara pertuturan
b.
Secara perlakuan
c.
Secara teladan
d.
Secara isyarat
e.
Secara kefahaman
f.
Secara interpretasi
g.
Secara konteksual
Tujuan pendidikan nilai murni ialah untuk membentuk
murid-murid supaya berperibadi mulia dan mampu dalam membuat keputusan
berdasarkan nilai moral diri, keluarga, komuniti dan masyarakat.
Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) telah memperakui
16 nilai-nilai murni:-
1.
Baik Hati
Sikap sentiasa mengambil berat terhadap perasaan
dan kebajikan orang lain secara tulus ikhlas. Sikap baik hati boleh dilihat
dengan menilai tindak tanduk orang lain. Ini meliputi:
o
Aspek belas kasihan
o
Bertimbang rasa
o
Murah hati
o
Saling faham memahami
o
Sedia memaafkan
2.
Berdikari
Kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa
bergantung kepada orang lain. Berdikari dalam konteks ini membawa pengertian:
o
Bertanggungjawab
o
Berupaya bertindak sendiri
o
Jaya diri dan yakin pada diri sendiri.
3.
Hemah
Tinggi
Berbudi pekerti dengan tingkah laku mulia dan lemah
lembut yang patut diamalkan oleh seseorang individu dalam hubungannya dengan
ahli masyarakat yang lain. Ciri-ciri berhemah tinggi adalah:
o
Kesopanan
o
Mengakui kesalahan
o
Ramah mesra
4.
Hormat
Menghormati
Menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi
sosial dengan memberi layanan yang bersopan. Ini merangkumi:
o
Hormat dan taat kepada ibubapa
o
Hormat kepada orang yang lebih tua, guru, rakan,
jiran tetangga dan pemimpin
o
Hormat kepada raja dan negara
o
Patuh kepada undang-undang
o
Hormat kepada hak asasi
o
Hormat kepada kepercayaan dan adat resam pelbagai
keturunan
o
Hormat kepada keperibadian individu.
5.
Kasih
sayang
Perasaan cinta, kasih sayang yang mendalam dan
berkekalan. Rasa ini lahir dari hati yang rela terhadap sesuatu, tanpa sebarang
unsur kepentingan diri:
o
Sayang kepada nyawa
o
Sayang kepada alam sekeliling
o
Cinta kepada negara
o
Cinta kepada keamanan dan keharmonian
6.
Keadilan
Perlakuan, pertuturan dan keputusan yang saksama
serta tidak berat sebelah.
7.
Kebebasan
Kebebasan yang dimaksudkan ini, tertakluk kepada
peraturan dan undang-undang yang ditentukan oleh agama, masyarakat dan negara.
Contohnya ialah:
o
Kebebasan di sisi undang-undang
o
Kebebasan dalam sistem demokrasi.
8.
Keberanian
Kesanggunpan seseorang untuk menghadapi cabaran
dengan yakin dan tabah hati. Keberanian itu perlu ada pada setiap orang. Tetapi
ia harus tahu batas dan keupayaannya kerana keberanian yang melulu
mengakibatkan bencana. Nilai ini merangkumi:
o
Berani dengan tidak membuta tuli
o
Berani kerana benar
o
Berani mempertahankan pendirian
o
Berani bertanggungjawab.
9.
Kebersihan
fizikal dan mental
Kebersihan fizikal ialah kebersihan diri dan
kebersihan persekitaran. Kebersihan mental pula merangkumi pertuturan,
perlakuan, pemikiran dan kerohanian. Antaranya ialah:
o
Kebersihan diri
o
Kebersihan persekitaran
o
Pertuturan dan kelakuan yang bersopan
o
Pemikiran yang sihat dan membina
10. Kejujuran
Sikap dan perlakuan yang menunjukan niat baik,
amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.
11. Kerajinan
Usaha berterusan yang penuh dengan semangat
ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi dan daya usaha dalam melakukan
sesuatu perkara.
12. Kerjasama
Usaha baik dan membina yang dilakukan secara
bersama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk
mencapai sesuatu matlamat seperti persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong
royang, ketoleranan dan perpaduan.
13. Kesedaran
Sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan
dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan supaya sesuai
dengan norma dan nilai masyarakat. Ini termasuklah:
·
Sederhana dalam menimbangkan kepentingan diri dan
kepentingan orang lain.
·
Tidak keterlaluan dalam pertuturan dan tingkah
laku.
14. Kesyukuran
Perasaan dan perlakuan yang dilahirkan secara
ikhlas di atas nikmat dan kesenangan yang diperolehi seperti berterima kasih,,
mengenang budi dan penghargaan.
15. Rasional
Boleh berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang
nyata dan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya, tanpa dipengaruhi oleh
perasaan. Umpamanya seperti boleh membuat pertimbangan, boleh membuat penakulan
dan berfikiran logik dan terbuka.
16. Semangat Bermasyarakat
Kesediaan melakukan sesuatu untuk kepentingan
bersama bagi mewujudkan keharmonian hidup dalam masyarakat seperti bermuafakat,
kerajinan dan peka kepada isu-isu sosial dalam masyarakat.
Teknik Penerapan Nilai Murni
Walaupun nilai-nilai murni diwar-warkan untuk
dilaksanakan dan diserapkan dalam pendidikan, jika tidak ada teknik yang sesuai
ianya tidak akan mencapai matlamat dan keberkesanannya. Antara cara yang
dikenalpasti untuk menerpkan dan menyerap serta menyemai nilai-nilai murni
ialah:
- Melalui matapelajaran tertentu (Pendidikan
Moral dan Pendidikan Islam)
- Penerapan nilam murni dalam matapelajaran lain
- Aktiviti ko-kurikulum
- Aktiviti persatuan sekolah
Melalui teknik-teknik di atas, penerapan nilai
murni akan dapat dilaksanakan walaupun tidak sepenuhnya. Melalui matapelajaran
tertentu, sekurang-kurangnya dengan mewajibkan pelajaran mengambil subjek yang
berkenaan akan memberikan pengetahuan ataupun akan dapat menarik minat mereka
untuk belajar.
Penutup
Kesemua 16 nilai yang dipilih untuk disisipkan
kedalam pendidikan adalah nilai-nilai yang dapat menjadikan seseorang itu
manusia yang dihormati dan boleh memainkan peranan yang aktif dalam menjamin
keharmonian dalam masyarakatnya serta dapat menyumbang kearah pembangunan
masyarakat.
Tugas guru dalam menerapkan nilai murni tidak
semestinya bergantung 100% kepada kandungan kurikulum yang ditentukan tetapi
perlulan juga berdasarkan inisiatif mereka sendiri. Guru sebagai "role
model" perlulah menunjukkan dan menainkan peranan dalam menerapkan nilai
murni baik dari segi perbuatan, perlakuan maupun tuturkatanya. Guru harus cekap
dalam menyampaikan isi pelajaran disamping menerapkan nilai-nilai murni dalam
penyampaiannya. Begitu juga dalam memilih kaedah dan waktu hendaklah bersesuaian.
Kesemua nilai yang disenaraikan merupakan asas atau
jambatan kepada pelajar yang masih dibangku sekolah dalam membentuk perwatakan
dan displin diri yang tinggi dan mulia. FPN digubal berpandukan kepada konsep
berteraskan Allah SWT. Ia menampakkan sifat yang bersepadu, menyeluruh dan
seimbang iaitu kesepaduan di antara ilmu, iman dan amal; kesepaduan di antara
akal, jasad dan roh; kesepaduan di antara teori dan amali, di antara kemahiran
dan akhlak; di antara rupa dan jiwa; di antara pembangunan keduniaan dan
akhirat; dan di antara manusia, alam dan Allah, yang mana kesemuanya
bermatlamatkan pemikiran insan soleh . Insan yang baik akan membentuk keluarga
yang baik, seterusnya masyarakat serta bangsa yang baik.
Bibliografi:
Kertas Kerja Kajian Sistem Pendidikan Kebangsaan
(Mtt 2353). Diperolehi pada Mei, 1,
Kementerian
Pelajaran Malaysia, (2006) Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010,
Kuala
Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kementerian
Pelajaran Malaysia, (2001) Pembangunan Pendidikan 2001-2010,
Kuala
Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Lembaga
Penyelidikan Undang-undang, (2007) Akta Pendidikan 1996. Petaling Jaya :
International
Law Book Services.
Sufean
Hussin. (2004) Sejarah, sistem & falsafah pendidikan di Malaysia (Edisi
Kedua).
Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tyler,
R.W. (1991). Principle of curriculum and instructions. (Terjemagan Kamaruddin
Hussin &
Hazil
Abdul Hamid). Skudai: UTM
1 comment:
Mohon share...t.kasih...semoga dimurahkaan rezeki...amin...
Post a Comment