Kisah perjuangan seorang sahabat yang kian dilupakan.....

Suhaib Ar-rumi.............

Suhaib adalah seorang pedagang yang pintar dan cerdas, beliau menjual dengan harta dan jiwanya guna mendapatkan redha Allah SWT, maka diapun mendapatkannya dan berhak mendapatkan penghargaan orang Romawi yang mendapatkan kemenangan dalam Islam, dan berhak seperti yang diriwayatkan dari Rasulullah saw :”Suhaib penakluk negeri Romawi”. (HR. Ibnu Sa’ad).

SEUATU YANG PERLU DIFIKIRKAN =)



kerana saya memilih untuk tidak berkahwin awal. catatan unknown ini ada benarnya.
Saya selalu meniliti status-status rakan saya yang menerangkan tentang kelebihan bernikah. Pada masa dahulu, ketika saya masa maseh lagi terjangkit sindrom gatal ini, saya juga sangat suka mempromosi perkahwinan, kahwin awal dan kelebihan-kelebihan berkahwin.
Namun, setelah beberapa waktu, saya merasakan sindrom ini menjadi satu penyakit yang amat berbahaya. Ianya bukan menyelesaikan masalah, malah ia memberi satu masalah lain.
Saya tidak menolak kelebihan pernikahan. Saya juga tidak mahu menolak kelebihan yang boleh saya dapat sekiranya saya berkahwin awal. Tetapi saya ingin menyeru kepada semua rakan-rakan saya supaya kita kembali meneliti dan bertanya, apakah sebenarnya prioriti kita di dalam kehidupan sebagai seorang belia?
Saya cukup bimbang penyakit yang membuak-buak ingin berkahwin awal ini membuatkan kita terlupa tentang prioriti kita. Apakah kita semua tidak tahu bahawa sebuah perkahwinan itu bukan perkara yang main-main? Apakah kita semua tidak tahu bahawa perkahwinan itu suatu bentuk hubungan yang perlu dipertahankan? Apakah kita semua tidak sedar bahawa perkahwinan itu merupakan satu perkongsian hidup kita dengan hidup orang lain yang membuatkan kita wajib menerima segala kelemahan dia?
Cakap memang mudah. Ada yang mengatakan, apabila sudah berkahwin, maka segalanya akan selesai. Masalah zina akan selesai, masalah hati akan selesai, masalah kewangan akan selesai, masalah disiplin akan selesai, saya berasa amat ragu-ragu dengan perkara ini.
Saya sudah katakan, yang saya tidak menolak kebaikan yang ada pada perkahwinan. Tetapi kita perlu ingat, perkahwinan bukanlah penyebab kita menjadi baik. Ramai orang berkahwin, tetapi perangainya maseh tidak elok. Hakikatnya, ia bukan bergantung ke atas perkahwinan, tetapi ia bergantung ke atas kesedaran kita untok berubah dari sekarang.
Bagaimana kita hendak berkahwin, sedangkan sebelum kahwin pun, kita melayan ramai perempuan atau lelaki sehingga hati kita mempunyai banyak 'hubungan sulit' bersama ramai orang? Adakah kita jamin, sebaik sahaja kita berkahwin dan mempunyai ikatan sah, tabiat playboy dan buaya itu akan hilang?
Bagaimana kita hendak berkahwin, sedangkan sebelum kahwin pun, kita tak mampu merancang hidup untok diri sendiri. Sepatutnya, semasa usia muda ini, kita seharusnya mengambil semaksima peluang bagi memantapkan kewangan dan ilmu kita. Apa yang berlaku sekarang, tatkala cuti semester sahaja, kita akan duduk mengangkang di rumah, mengharapkan bantuan duit mak ayah. Lagi satu, apabila ditanya apakah perancangan masa depan, kita langsung tidak dapat memikirkannya kerana kita memang malas nak berfikir tentang itu. Kalau perancangan hidup sendiri pun tidak ada, bagaimana kita nak merancang hidup pasangan kita? Bagaimana kita nak merancang hidup anak-anak kita?
Bagaimana kita hendak berkahwin, sedangkan pengetahuan agama kita pun kurang? Ini belum sentuh lagi tentang amal tentang pengetahuan agama. Saya tidaklah ingin menyuruh kita semua mengetahui sedalam-dalamnya tentang agama. Namun, sekurang-kurangnya, sebagai bakal suami atau isteri, kita wajib mengetahui asas-asas dalam agama. Azan, bacaan doa selepas solat, iqamat, doa qunut, tatacara mandi wajib, tajwid Al-Quran, semuanya kita maseh lagi belum lulus. Pengetahuan agama kita sedikit itu tak apa, tetapi sikap PEMALAS nak belajar tentang agama itu amatlah mendukacitakan. Yang lebih sedih, orang pemalas belajar agama inilah yang beria-ia nak membina sebuah baitul Muslim.
Bagaimana kita hendak berkahwin, sedangkan sebelum perkahwinan, kita suka merendah-rendahkan taraf wanita? Kita selalu menganggap bahawa syurga isteri di bawah kaki suami dan perempuan wajib taat bodoh dengan suami. Hakikatnya, tiada mana-mana Hadith yang mengatakan syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Sesiapa yang mengatakan syurga di bawah kaki suami itu perlu diberikan tapak kaki pada mukanya.
Sebagai bakal suami, minda kita tidak boleh fikir bahawa isteri itu wajib taat bodoh terhadap suaminya. Taat bodoh ini bermaksud, isteri perlu redha apa sahaja yang suaminya buat sama ada betul atau salah. Ini satu pendapat yang jahil. Seorang isteri mempunyai hak untok berbicara dan memberikan pendapatnya apabila sesuatu masalah berlaku. Salah satu keruntuhan rumah tangga disebabkan sang suami sendiri tidak hormat terhadap isterinya sendiri. Mengapa ini berlaku? Ia disebabkan sebelum berkahwin lagi, sang suami memang berfikiran bahawa perempuan tidak berguna dan lemah. Apabila berjumpa dengan perempuan, di dalam fikirannya terlalu banyak skeptikal bahawa perempuan ini adalah satu kaum yang lebih rendah daripada lelaki. Sehinggakan menentang perempuan untok menjadi pemimpin. Ini yang perlu dibersihkan oleh lelaki sekiranya ingin layak untok berkahwin.
Bagaimana kita hendak berkahwin, sedangkan sebelum perkahwinan, kita sudah pun menjadi kedekut. Ini yang saya tidak faham. Ramai golongan yang menggatal nak kahwin tapi tak berapa layak ini, berpendapat bahawa sekiranya kita berkahwin, maka masalah kewangan akan selesai kerana Tuhan sudah berjanji sekiranya lelaki dan perempuan berkahwin, Tuhan akan berikan rezeki yang tidak terjangka.
Padahal sepatutnya, kita perlu menilai juga janji Tuhan yang lain seperti:
Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata:“Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh”
(At-Taubah 9:75)
Tetapi apa yang mendukacitakan, ramai yang ingin berkahwin dengan alasan, 'bila berkahwin, rezeki dapat banyak'. Tetapi sebelum berkahwin, kita sangat sangat kedekut nak bersedekah. Nampak peminta sedekah, kita buat-buat tak nampak. Nampak orang yang memerlukan pertolongan, kita buat-buat tak nampak. Nampak orang yang sedang susah, kita buat-buat tak nampak. Sedangkan semua itu merupakan peluang untok kita menambahkan rezeki. Bukan hanya perkahwinan sahaja menambahkan rezeki. Duit ada, tetapi simpan tak mahu bersedekah. Kudrat ada, tetapi disimpan sebab malas nak tolong orang lain.
Jadi kenapa nak sembang kencang yang perkahwinan ni menambahkan rezeki padahal sebelum kahwin, kita tidak ada pun lakukan perkara yang menambahkan rezeki seperti bersedekah? Adakah kita ni hipokrit ataunya kita hanya nak mengambil kebaikan berkahwin itu semata-mata kerana kita terlalu sangap nak berkahwin? Sepatutnya, sebelum kahwin inilah kita banyakkan sedekah, sekiranya kita benar-benar ingin mendapat rezeki yang banyak selepas berkahwin. Insha Allah, banyakkan sedekah, dan kurangkan gejala gatal nak kahwin tapi tak mampu itu, maka anda akan mendapat rezeki yang lebih tinggi daripada yang anda jangka.
Bagaimana kita hendak berkahwin, sekiranya hubungan dengan ibu dan ayah kita sendiri pun kita tak ikatkan? Apabila kita berkahwin nanti, bukan sahaja ibu bapa kita perlu dijaga, malah ibu bapa pasangan kita itu juga perlu dijaga. Mampukah kita membina hubungan baik bersama keempat-empat orang tua tersebut sedangkan sebelum berkahwin, dua orang tua pun kita tidak mampu jaga perhubungannya?
Ada yang kata, apabila sudah berkahwin, maka nafsu boleh dikawal. Tahukah anda bahawa selain daripada perkahwinan, ada hadith lain yang memberikan alternatif untok kita mengawal nafsu?
Rasulullah bersabda, bermaksud: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya (daripada syahwat).” – (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Daud, Ibn Majah).
Nah, Tuhan sendiri berikan kita alternatif dan menerangkan kita tentang cara-cara menundukkan nafsu. Ianya bukan sekadar berkahwin, tetapi ia termasuklah menundukkan pandangan, memelihara kemaluan dan BERPUASA. Berapa ramaikan antara kita yang menggatal nak kahwin, tetapi mereka mengikut langkah-langkah yang Nabi anjurkan ini? Jawapannya: Sangat sedikit. Ramai yang maseh nak berkahwin disebabkan 'ingin mengurangkan nafsu'. Padahal tak pula dia melakukan alternatif yang Nabi sudah anjurkan berdasarkan Hadith tersebut.
Apa adakah kita ingat perkahwinan ini satu benda yang main-main? Hari ni nikah, lepas tu 'happy forever ever', ada anak, ada cucu, kemudian mati? TIDAK! Di dalam hubungan sesama adik beradik kita pun akan ditimpa ujian, apatah lagi hubungan dengan orang yang tidak punya pertalian darah dengan kita iaitu pasangan kita. Mampukah kita menghadapi semua itu? Mampukah kita menyelesaikan masalah pasangan kita? Mampukah kita bertahan dengan pasangan kita yang panas baran, yang tiba-tiba berubah menjadi lain macam setelah bernikah? Pernah tak kita terfikir semua ini?
Banyak lagi yang ingin saya tulis, tetapi saya merasakan poin-poin ini merupakan poin yang lebih besar untok kita bermuhasabah diri. Saya tidak mahu rakan-rakan saya dan diri saya yang menggatal nak kahwin sangat ni, tetapi tidak menunaikan prioriti yang lebih besar sebagai seorang belia. Kita perlu bermuhasabah, dan perlu berfikir sedalam-dalamnya tentang hubungan yang kita mahukan itu. Jangan sampai disebabkan keghairahan kita nak berkahwin tanpa persediaan mental, akhirnya musnah sebuah mahligai yang kita bina.
Perkahwinan tidak menyelesaikan apa-apa masalah. Tetapi semua masalah perlu diselesaikan sebelum perkahwinan.